September 1993, inilah titik permulaan, di sinilah segalanya bermula. 8 orang pelajar dari Malaysia, dan juga 8 orang pelajar dari Singapura tiba di negara emas hitam. Tiba bersama kami juga adalah 4 orang pelajar dari Indonesia (dua orang daripada mereka tidak pernah menjangka mereka bakal menganggotai al:masaar suatu masa nanti) dan empat orang lagi dari Pattani, Thailand. Kuwait merupakan tempat di mana 24 orang anak muda dari Nusantara ini bakal meneruskan pengajian mereka di peringkat menengah. Di dalam usia yang terlalu muda, beberapa orang abang-abang senior amat bermurah hati untuk membimbing kami, dan kami pun diajak, pada mulanya, ke program-program umum, dan seterusnya kami diserap ke program-program khusus seperti usrah dan sebagainya. Di sinilah bakat kami mula dipetik. Apabila diselidik oleh abang-abang kami (terutamanya abang ulum dan abang husin), ternyata pengaruh Nada Murni amat kuat sekali di dalam diri kami. Maka kami pun mula diminta untuk mempersembahkan nasyid di dalam program-program umum. Maka terbentuklah gabungan atau kombinasi pertama al:masaar iaitu: vocalists: mu'adz, abdullah, saiful, ameen, hakim, hamzah, muhsin, munzir, mustaqim dan salim. percussionists: aziz dan effendi. Masa ini, kami belum mempunyai sebarang nama untuk gabungan ini. Dengan kekuatan dan keteguhan vokal abdullah, ditambah lagi dengan gemersiknya suara mu'adz dan gema perjuangan saiful, berbagai bentuk jemputan persembahan telah kami terima. Terima kasih buat abang ulum, abang husin, abang-abang senior semua dan juga bro. fahd al-furaihan. |